SUDUT ILMIAH SK TEDONG

9 Cara membina Sikap Positif

Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.

Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.


Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.
Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri


Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

  1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
  2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
  3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
  4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
  5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
  6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
  7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
  8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
  9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
  10. Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.
Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula.
Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:


- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah TIDAK!

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:


- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.



kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti.Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 8 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:

- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.


Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita

Petua 9 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.


[rujukan:http://www.laman-map.com/e-Majalah/artikel/motivasi/10petua.htm]